Friday, October 14, 2022

Buat header pun dah lupa

 


Wednesday, October 31, 2012

Fiqh: Akikah dan hal berkaitan

Sumber : http://koleksi-alqalam.blogspot.com/
 
Pengertian Aqiqah

Al-‘Akikah berasal dari perkataan al-‘Aq (العقّ) yang bermaksud al-Qat’u (القطع) iaitu memotong. Akikah pada asalnya ialah rambut yang berada di kepala bayi ketika dilahirkan dan dinamakan kambing yang disembelih untuk bayi sebagai akikah adalah kerana rambut tersebut dicukur ketika sembelihan itu dilakukan. Kerana itu Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang bermaksud;

“Anak kecil itu dipertaruhkan dengan akikahnya, maka tumpahkanlah darah untuknya (yakni lalukanlah aqiqah untuknya) dan singkirkanlah kotoran darinya”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dari Salman bin ‘Amir r.a.)


Yang dimaksudkan dengan kotoran (الأذي) dalam hadis ini ialah rambut yang dicukur daripada anak kecil tersebut.

Dari sudut syarak, akikah bermaksud; binatang yang disembelih untuk bayi yang dilahirkan. Disunatkan memanggilnya dengan nama nasikah (نسيكة) atau zabihah (ذبيحة).

Dalil pensyariatan akikah ialah hadis Buraidah r.a. yang menceritakan;

“Sesungguhnya Rasulullah SAW melakukan akikah untuk Hasan dan Husin”. (Riwayat Imam an-Nasai)


Hukum Akikah

Akikah hukumnya adalah sunat muakkad. Dalil sunatnya akikah ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh Salman bin ‘Amir r.a. tadi.

Melakukan akikah tidaklah wajib kerana Abdurrahman bin Abi Sa’id meriwayatkan daripada bapanya yang menceritakan bahawa Nabi SAW ditanya berkenaan dengan akikah? Lalu baginda bersabda, yang bermaksud;

“Aku tidak al-‘Aquq. Sesiapa yang memperoleh anak kecil, lalu ia suka untuk menyembelih (akikah) untuknya, maka lakukanlah”. (Riwayat Imam Abu Daud).

Dalam hadis di atas, Rasulullah mengikat sembelihan akikah tersebut dengan “ia suka”. Maka ini menunjukkan bahawa akikah tidak wajib. Selain itu, akikah adalah darah yang ditumpahkan (yakni sembelihan yang dilakukan) tanpa disebabkan oleh sebarang jenayah dan juga nazar, maka oleh itu tidaklah wajib sebagaimana korban.

Saturday, October 13, 2012

Hukum perempuan haid ziarah kubur

Sumber asal : http://ustaznaim.blogspot.com/2010/09/hukum-perempuan-wanita-haid-ziarah.html
Soalan :
Salam,apakah hukum wanita yang dalam haid menziarahi kubur?.

Jawapan :
Berkenaan wanita menziarahi kubur, terdapat hadis Rasulullah s.a.w, daripada Abdullah Ibnu Abi Malikah bahawa Saidatina A'isyah pada suatu hari telah datang dari tanah perkuburan, maka saya pun bertanya kepadanya:"Ya Ummul Mukminin, dari manakah kamu datang?" Beliau menjawab:"Dari kubur saudaraku, Abdul Rahman". Saya bertanya lagi kepadanya :" Bukankah Rasulullah melarang ziarah kubur?" Beliau menjawab :"Memang, asalnya beliau melarang ziarah kubur tetapi kemudian menyuruh menziarahinya." (Riwayat al-Hakim dan Ibnu Hibban dari A'syah secara ringkas dan juga dari al-Atsrum).